January 10, 2010

Hukum Makan Daging Biawak

Postby fundamentalis »

Assalamu'alaikum,

Saya ingin mendapat kepastian dalam hal ini.Adakah memakan daging biawak harus/mubah hukumnya?

Terima kasih.


_____________________________
Postby kamin »

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr fundamentalis dengan sekadar yang mampu, insyaallah.

Kalau sdr fundamentalis maksudkan BIAWAK itu ialah DABB, maka ulama' mengatakan hukumkannya harus(mubah). Dalilnya ialah hadith dari "Pedang Allah" (Khalid Ibnu Walid) :

{"Khalid Ibnu Walid meriwayatkan bahawa beberapa daging DABB telah dibawa kepada Rasulullah saw dan diletakkan dihadapan beliau. Baginda memanjangkan tangan sedikit untuk mengambilnya, tetapi salah seorang dari mereka yang hadir berkata : 'Ya Rasulullah, sesungguhnya itu adalah DAGING DABB'. Maka baginda pun menarik tangannya semula. Khalid Ibnu Walid bertanya:'Ya Rasul Allah, Apakah DABB Haram?'. Baginda berkata : 'TIDAK, tetapi ia tidak diketahui oleh orangku dan saya tidak boleh berhadapan memakannya'. Maka Khalid pun mengambil beberapa daging dabb dan memakannya, sementara Rasulullah saw memandangnya"} (Riwayat al-Bukhari 4981, Al-Nasaa'i 4242, dan Abu Daud 3300).

Berdasarkan takrir atau diamnya Rasulullah saw, maka Dabb adalah Halal dimakan.

Menurut kamus Al-Mawrid, Dabb ini ialah sejenis cicak, yang dinamakan "Dabb Lizard". Ia menyerupai biawak. Ia adalah "Haiwan jenis reptilia yang keras kulitnya". Dan ia juga dinamakan oleh orang Melayu sebagai biawak padang pasir. Maka apakah hukum memakan biawak selain dari Dabb??

Elok juga kita lihat dulu makanan-makanan yang diharamkan oleh Allah yang terdapat didalam surah Al-Maidah ayat 3. Allah swt berfirman :

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala". (Al-Maidah:3).

Menurut Al-Qardhawi:

"Mengenai binatang darat, al-Quran tidak menyebutkannya secara jelas pengharamannya melainkan untuk pengharaman daging babi, bangkai, darah dan binatang yang disembelih untuk berhala. Ini ada disebutkan pada ayat yang lalu dengan menghadkan pengharaman itu hanya di sekitar empat perkara sahaja secara ringkasnya, dan sepuluh perkara secara terperincinya.(Halal & Haram, ms52)"

Perincian 10 makanan yang diharamkan adalah seperti berikut.

1. Bangkai
2. Daging babi
3. Binatang yang mati dicekik
4. Binatang yang mati kerana jatuh dari tempat tinggi
5. Binatang yang mati kerana dimakan oleh binatang buas
6. Darah
7. Binatang yang disembelih bukan kerana Allah
8. Binatang yang mati kerana dipukul
9. Binatang yang mati kerana ditanduk
10. Binatang yang disembelih bukan kerana berhala

Menurut Al-Qardhawi lagi:

"Namun dalam pada itu al-Quran mengatakan: "Dan Allah mengharamkan atas mereka yang kotor-kotor." (al-A'raf: 157)

Maksud kotor (khaba’its) ialah yang secara umumnya dianggap kotor oleh perasaan rata-rata manusia, sekalipun ada beberapa individu yang tidak menganggapnya begitu. (Halal & Haram, ms52)"

Maka, ulama-ulama Syafie mengkategorikan biawak sebagai binatang yang kotor atau khaba’its, dan hukumnya adalah haram dimakan. Sebagai tambahan : . Rasulullah s.a.w telah menegah daripada memakan semua binatang buas yang bertaring dan burung yang berkuku cengkam (untuk melukai mangsa) – Hadith riwayat imam Bukhari. Melalui hadis ini maka ulama’ mengharamkan binatang buas yang bertaring seperti singa, harimau kerana ia memakan daging dan makanan kotor.

wallahu 'alam

-wassalam-
==========

Rujukan:

1. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Al-Halal Wa Al-Haram fi Al-Islam. Cetakan ke 27. Kaherah : Maktabah Wahbah, 2002.
2. Kamus Ajeeb. url : http://dictionary.ajeeb.com
3. Persatuan Ulama Malaysia. Soal jawab - e-Ulama. url : http://www.e-ulama.org/Tanya/Default.asp?mode=0&ID=1168

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..
saya juga ingin bertanya..apakah hukumnya makan tenggiling? bagaimana pula hukumnya menjual tenggiling?

Admin said...

Mungkin tenggiling tidak termasuk dalam golongan binatang yang diharamkan tapi kita tidak makan atas dasar uruf, tidak sesuai untuk dimakan.

Dari segi syariat nak kena semak dulu hukumnya tapi dari segi undang2 negara tenggiling termasuk dalam ketegori binatang liar yang dilindungi, menjual tenggiling adalah salah dalam undang2 perlindungan binatang liar. Bilangan yang ada sangat kurang takut pupus tidak ada yang tinggal lagi. WA.

Post a Comment