January 11, 2010

Air Tawaf Yang Dijampi

Postby MicroScript »

salam

Izinkan saya menanya tentang Air Tawaf dan dijampi, from my humble knowledge, hanya orang yang bertawaf ... ?
Adakah ini suatu yang bersesuaian dengan syarak ?

wassalam


____________________________
Postby kamin »

Assalamu'alaikum

Alhamdulillah. Insyaallah, dengan pengetahuan yang sedikit ini, akan kami cuba menjawabnya dan terima kasih sdr AhmadAlbab mengenai artikel mengenai air.

Melakukan jampi (ruqyah) yang ditiupkan keatas air memang dibenarkan didalam syara' sebagaimana yang banyak dibincangkan didalam al-ahkam. Berikut saya memetik beberapa contoh isu jampi yang telah dijawab oleh Al-Fadhil Ustaz THTL dan Al-Fadhil Ustaz Pendekar.

1. SJ - 2276 : SOLAT HAJAT ( KONTROVERSI ) & AIR BERJAMPI

2. SJ-2053: Doa, ruqyah, hadith sahih, siapakah Jameel Zeeno?

3. SJ-1713: [SJ-1674 Bah 2]: Perihal alQur'an

---------
Sebagaimana yang diketahui umum, salah satu sunah yang dilakukan oleh orang yang mengerja Haji dan Umrah ialah meminum air zamzam. Dalil-dalilnya bolehlah kita lihat didalam SoalJawab dibawah ini.

1. SJ-2361: Zam Zam

Tidak dinafikan, Air Zamzam ini boleh dijadikan penyembuh. Dari Abi Zarr (ra), telah bersabda Rasulullah saw[1]:

"Zamzam ialah makanan yang mengenyangkan, dan penyembuh kepada penyakit" - (Diriwayatkan Al-Bazaar, dengan isnad sahih).

Didalam Sunan Ibn Majah (al-Manaasik, 3062) telah diriwayatkan dari Jaabir ibn Abdullah bahawa Nabi saw bersabda:

"Air Zamzam ialah untuk apa yang diminumnya"

Sheikh Ibnu Qayyim didalam Zaad al-Ma'aad (4/319-320) menyatakan bahawa :

"Diri saya sendiri dan yang lain-lain telah cuba penyembuhan dengan air Zamzam dan melihat pelbagai keajaiban. Saya mencuba penyembuh dari beberapa penyakit, dan saya telah disembuhkan dengan izin Allah swt. Saya melihat seseorang yang telah menjadikannya sebagai sumber makanan untuk beberapa hari, setengah bulan atau lebih, dan tidak merasa lapar, dia melakukan tawaf bersama dengan orang lain melakukannya. Dan dia memberitahuku bahawa dia tidak makan apa-apa kecuali air Zamzam selama 40 hari dan mempunyai kekuatan berjima' dengan isteri, berpuasa dan melakukan tawaf beberapa kali".

Walaubagaimana pun, Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi[2] menyatakan bahawa "sesungguhnya meminum air zamzam bukanlah salah dari perbuatan ibadat Haji atau sunnahnya didalam mana-mana mazhab yang terkenal dikalangan muslimin" (Fatawa Muasyirah 1/359). Dalil yang diberikan kebanyakkan menyentuh mengenai kelebihan air ZamZam secara khusus dan tidak dikaitkan dengan ibadat Haji atau khususnya ibadat Tawaf!

Malah air Zamzam ini boleh dilakukan jampi (ruqyah) keatasnya. Menurut Ibn Jibreen didalam buku Al-Lu’lu’ al-Makeen min Fataawaa Ibn Jibreen[3] mengatakan :

"Tidak ada sebab mengapa ayat dan do'a tidak boleh dibacakan keatas air, seperti air Zamzam, atau minyak zaitun, kemudian ia disapukan keatas orang yang sakit"

--------------

Selain dari Air Zamzam, air-air seperti Air Tawaf, Air Jira'nah, Air kunci Kaabah dan Air salur emas (dari atas Ka'abah) hanyalah merupakan rekaan-rekaan (bid'ah) manusia semata-mata. Mereka mendakwa bahawa air-air tersebut mempunyai keberkatan kepada mereka. Malah ada diantara mereka yang tidak lupa membasuh duit, janggut dan baju-baju mereka dengan air Zamzam dengan harapan ia membawa berkat.

Shiekh Nasyiruddin Al-Albani didalam buku Hajjatu Al-Nabi (ms 116-119) telah menyenaraikan beberapa bid'ah-bid'ah yang dilakukan oleh mereka yang menunaikan Haji atau Umrah, dan diantara bid'ah yang dilakukan oleh mereka-mereka yang bertawaf (yang ada kena-mengena dengan AIR) [4]:

1. Bid'ah no: 46 : "Melakukan do'a dibawah salur emas (Al-Miizaab, di atas ka'bah) dengan berkata :'Ya Allah lindungilah aku dibawah lindunganmu dihari yang tidak atau perlindungan melainkan perlindungan mu".

2. Bid'ah no:55 : "Memohon berkat dari Air Hujan yang turun dari salur emas dengan rahmat Ka'bah".

3. Bid'ah no:57 : "Hirup dari lebihan air Zamzam kedalam periginya dan berkata : 'Ya Allah aku memohon kepadamu akan reski yang luas, ilmu yang bermunafaat dan kesembuhan diatas segala penyakit.....'".

4. Bid'ah no:58 : "Mandi dengan air Zamzam".

5. Bid'ah no:59: "Berhati-hati didalam membenamkan janggut didalam air Zamzam, duit-duit mereka dan pakaian-pakaian bagi mendapatkan berkat".

6. Bid'ah no:60 : "Apa yang dinyatakan didalam beberapa buku Fiqh mengenai meminum Zamzam didalam beberapa teguk, dan setiap kali melihat kepada ka'bah"

Menurut Sheikh Muhammad bin Abdul Kadir Al-Mandili, Tuan Guru Masjidil Haram[5] :

"Terdapat setengah-setengah jemaah haji dan umrah yang mementingkan dan mengutamakan air celupan anak kunci Ka'bah sehingga mereka sanggup membayarnya dengan wang agar dapat meminum air tersebut dengan pelbagai niat meminumnya"

Begitulah amalan-amalan berkenaan dengan 'air' yang merupakan perbuatan bid'ah yang dilakukan oleh mereka yang bertawaf di Masjidil Haram. Adalah mustahab meminum air Zamzam, dan tidaklah sampai mandi dengannya sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyah didalam Majmu Fatawa (26/144) : "Adalah mustahab minum air zamzam, berdo'a semasa meminumnya dengan apa-apa do'a yang dibenarkan oleh syara', dan tidaklah mustahab mandi dengannya"[6]. Kesimpulannya ialah tidak terdapat apa yang dikatakan sebagai 'air tawaf' menurut syara' bagi mereka-mereka yang melakukan tawaf.

---------
Sedikit tambahan :Pengalaman kami sendiri sewaktu hujan lebat di Mekah pada tengah malam tahun 1423H, berduyun-duyun manusia meminum air yang turun dari salur emas. Maka kedengaranlah penjaga-penjaga ka'bah mengejar dan mengucapkan Haram! haram! Lalu salah seorang penjaga tersebut berkata kepada saya :'Sungguh pelik amalan mereka itu?. Mazhab mana yang mereka anuti?'. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita dalam memahami Islam dengan lebih baik agar kita dapat dihindarkan dari perbuatan-perbuatan bid'ah. Bak kata Ibnu Taimiyah didalam muqadimah Kitab Suluk: "Allah swt akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang melakukan maksiat, kecuali pelaku bid'ah....."

Wallahu 'alam

-wassalam-

---------
Rujukan :

1. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Al-Muntaqaa - I. cetakan ke 3. Kaherah : Islamic Inc, 2001. ms 340

2. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Fatawa Muasyirah - I. cetakan ke 9. Dar Al-Qalam, 2001.

3. Ibn Jibreen. http://63.175.194.25/index.php?ln=eng&d ... 6383&dgn=3

4. Shiekh Nasyiruddin Al-Albani. Hajjatu Al-Nabi. cetakan ke 7. Al-Maktab Al-Islami, 1985.

5. Sheikh Muhammad bin Abdul Kadir Al-Mandili. Panduan dan Nasihat Haji dan Umrah. Kuala Lumpur : Yayasan Kebajikan Nusantara, 2001. ms 33.

6. Abdul Rahman bin Qaasim. Majmu' Fatawa Sheikh Islam Ahmad bin Taimiyah Mekah : Matba'ah Al-Hukumah ,1978.

1 comments:

Dean said...

Great post thannks

Post a Comment