January 10, 2010

Adakah Ikan Jerung Halal Dimakan?

Postby AnakAyub »

Assalamualaikum,

Perkara ini saya dah cuba cari dalam archive tapi tak jumpa. Saya tahu bahawa makanan laut adalah halal dimakan kecuali beberapa kerana sebab tertentu seperti obor-obor yang beracun. Bagaimana pula dengan jerung/yu? Walaupun ia adalah sejenis spesies ikan, tetapi ada yang berfikir bahawa ia adalah haram, kerana "sifat memakan manusia"(saya sendiri tak berapa paham... :confused:) Tolong jelaskan, kerana setahu saya ia adalah halal.


___________________________
Postby pendekar »

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara AnakAyub . Saya akan menjawab soalan tersebut dengan 2 cara :

( 1 ) ~ Berdasarkan hukum-hakam Fiqh .
( 2 ) ~ Berdasarkan logik pemikiran yang waras .

Kedua-dua cara itu adalah saling kait-mengait kerana Islam di samping menjaga warisan keilmuannya berdasarkan teks-teks al-Quranul Karim dan Sunnah , ia juga tidak menafikan peranan akal di dalam menyingkap hikmah dan sebab-musabab hukum-hakam di dalam agama kita yang suci ini .

Pertama : BERDASARKAN HUKUM-HAKAM FIQH:

“ Asal-Usul setiap perkara ( yang bukan ibadah ) adalah HARUS / BOLEH dilakukan sehingga datangnya keterangan agama yang mengatakan sebaliknya “ ~ Inilah kaedah Fiqh yang dipegang oleh majoriti ulama’ rh bagi mengetahui hukum asal setiap perkara yang BUKAN bersifat ibadat ( ibadat mutlaq / khas ) .

Oleh itu , asal-usul memakan binatang / haiwan laut itu adalah HARUS / BOLEH . Dan keharusan ini diperkuatkan lagi dengan dalil-dalil drp al-Quranul Karim dan Sunnah Baginda s.a.w .

Firman Allah Ta’ala :

Ertinya : “ Allah menghalalkan kalian berburu dan memakan binatang laut. Orang-orang yang menetap (tidak berada dalam perjalanan) dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, keduanya juga dibolehkan memanfaatkannya. Kalian diharamkan menangkap binatang buruan darat yang liar, yang biasa terlatih di dalam rumah, selama kalian menunaikan ibadah haji dan umrah di tanah suci. Hadirkanlah Allah dalam diri kalian setiap saat dan takutlah hukuman-Nya. Janganlah kalian melanggar perintah- perintah-Nya. Sesungguhnya kepada- Nyalah kalian kembali pada hari kiamat dan Dia akan membalas perbuatan kalian “ ~ Ayat ke-96 , Surah al-Maidah.

Tatkala Baginda Rasulullah s.a.w ditanya oleh seseorang sahabat r.a berdasarkan hadist yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah r.a . Sahabat r.a itu bertanya kepada Baginda s.a.w : “ Wahai Utusan Allah ! , Jika kami berlayar di laut dan kami bawa juga sedikit air tawar , dan jika kami gunakan air tawar yang sedikit itu untuk berwudhuk sudah tentu nanti kami akan terasa dahaga , maka apakah boleh kami berwudhuk dengan air laut ? “ .

Maka Baginda Rasulullah s.a.w pun menjawabnya :

Ertinya : “ Air laut itu ia adalah pembersih ( boleh digunakan untuk kita menyucikan diri ) dan haiwan-haiwannya pula halal dimakan “ ~ Hadis Hasan Sahih berdasarkan riwayat Imam Ahmad rh , Imam Abu Daud rh , Imam at-Tirmidzie rh , Imam an-Nasaie rh dan Imam Ibnu Majah rh . Al-Imam al-Bukhari rh menyatakan hadis ini sebagai hadis yang sahih .

Yang jelas di sini semua jenis binatang yang hidup di air ( laut dan sungai ) maka ia adalah halal dimakan .

Adapun jika kita meninjau pula mengenai binatang-binatang yang haram dimakan , maka kita akan menemui ada 2 sebab mengapakah kita dilarang memakan binatang-binatang itu . Iaitu disebabkan oleh :

( 1 ) ~ Mentaati perintah Allah Ta’ala semata-mata tanpa banyak bicara . Dalam kata lain ia adalah bersifat “ TA’ABBUDI “ ( bersifat ibadah mutlak ) .

Maka dalam hal Ta’abbudi ini kita hendaklah melaksanakan kesemua kehendak Allah Ta’ala tanpa perlu mengetahui apakah rasionalnya kita melaksanakannya .

Contohnya : Pengharaman memakan daging babi ( khinzir ) . Pengharamannya adalah disebabkan ta’abbudi . Ini adalah sebab utama .

Sebab kedua , sebab yang ditinjau drp sudut sains ( kesihatan ) iaitu di dalam daging babi mengandungi banyak cacing pita ( kuman ) yang tidak mungkin dibunuh walaupun direbus dengan air panas yang benar-benar panas menggelegak ( 100 darjah selsius ).

Jadi , jika ada orang yang mengatakan bahawa dia telah menemui satu asid ataupun ramuan yang menyebabkan semua kekotoran dan kuman / cacing di dalam badan babi-babi itu dihapuskan , adakah ini bermakna ketika itu babi ini sudah boleh dimakan oleh umat Islam ?.

Jawapannya : Tidak sama sekali ! :non . Sebab ia diharamkan bukan disebabkan ( sebab utama ) kuman ataupun cacing pita itu , akan tetapi disebabkan ta’abudi ( mesti taat dan patuh tanpa “ banyak bicara “ @ “ banyak songel “ ).

Contoh lain : Arak , ia juga diharamkan di atas sebab utamanya iaitu TA’ABBUDI . Sebab sampingannya ialah ianya memabukkan .

Oleh itu , walaupun arak itu diminum sedikit maka hukumnya tetap HARAM kerana ia diharamkan bukanlah disebabkan ( sebab utama ) IANYA MEMABUKKAN akan tetapi agar kita menjadi hamba Allah Ta’ala yang patuh dan taat tanpa banyak bicara dan banyak bersoal-jawab dengan Tuhan kita .

Pengharaman di atas dasar TA’ABBUDI ini sendiri kadang-kadang dipanggil juga sebagai : “ HARAM BIDZ DZAT “ ( Haram disebabkan diri / zat sesuatu benda itu sendiri ) .

( 2 ) ~ Jika sesuatu perkara itu tidak diharamkan di atas dasar Ta’abbudi , maka sudah tentu ianya diharamkan di atas dasar sebab buruk yang diakibatkan oleh binatang tersebut .

Haram disebabkan kesan buruk ( negatif ) ataupun bahaya yang bakal menimpa itu dinamakan sebagai : “ HARAM BIS SABAB “ . Iaitu haram dengan sebab yang boleh diterima akal .

Contohnya : Ayam ~ Hukum asalnya ia harus ( halal ) dimakan . Akan tetapi jika ada seekor ayam itu terkena penyakit yang merbahaya maka kita juga haram memakannya kerana dikhuatiri kita turut terkesan dengan penyakit merbahaya itu.

Mengapakah haram ayam tersebut dimakan ? .

Sebabnya : IA BERPENYAKIT DAN PENYAKITNYA SANGAT BAHAYA YANG BOLEH MEMBAWA MAUT .

Sabda Baginda Rasulullah s.a.w :

Ertinya : “ Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh juga membahayakan orang lain “~ Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Malik rh , Imam Malik rh dan Imam Ibnu Majah rh .

Jadi haram seperti ini adalah haram disebabkan satu sebab , bukannya haram disebabkan ta’abbudi ( sebagai mana jenis pertama di atas ) .

Di dalam kitab-kitab Fiqh ada disebut berkenaan dengan binatang-binatang yang buruk ( dianggap kotor ) dan juga di samping itu dibincangkan juga binatang yang dinamakan sebagai binatang “ al-Jallalah “

“Al-Jallalah” ini ialah binatang-binatang yang memakan kekotoran sebagai makanan utamanya seperti memakan tahi.

Binatang-binatang ini HARAM dimakan kerana perut-perut mereka hanya diisi dengan tahi dan makanan-makanan kotor .

Akan tetapi jika binatang-binatang al-Jallalah ini dikuarantinkan ( dikurung ) dalam tempoh tertentu sehingga suci perut-perut mereka drp memakan makanan-makanan kotor itu , maka selepas tempoh tersebut binatang-binatang itu sudah boleh ( halal ) dimakan .

Itulah hukum mengenai binatang-binatang al-Jallalah .

Ada pula binatang-binatang yang tabiat asalnya bukanlah makan daging . Tetapi binatang-binatang ini KADANG-KADANG makan juga daging . Contohnya : Itik , kadang-kadang ia memakan juga katak pisang walaupun itu bukanlah makanan utamanya . Begitulah juga dengan burung-burung , tabiat asal burung-burung ini bukanlah pemakan daging , akan tetapi ia makan juga daging dalam beberapa ketika . Dan binatang-binatang seperti ini tetap HARUS ( HALAL ) dimakan oleh kita sebagai orang-orang Islam .

Kalau itulah hukumnya bagi al-Jallalah dan binatang-binatang tersebut , maka apatah lagi dengan ikan Yu ataupun Jerung ataupun Jaws ? .

Ikan Yu , Jerung ataupun Jaws ini TIDAKLAH MENJADIKAN MANUSIA sebagai makanan utama . Mereka hanya memakan manusia di dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja , bukannya di dalam semua ketika .

Adakah ikan Yu , Jerung dan Jaws ini akan mati kalau tidak pernah / tidak dapat memakan daging manusia ? .

Jawapannya : TIDAK , ini disebabkan bukanlah manusia itu makanan utama mereka .

Oleh itu , kembali kepada hukum asalnya . Ikan Yu , Jerung dan Jaws ini semuanya HALAL dimakan oleh kita semua .

Kedua : BERDASARKAN LOGIK PEMIKIRAN AKAL YANG WARAS:

Ikan Yu , Jerung dan Jaws itu hidupnya di dalam air (laut ) , maka sudah tentu kita tidak boleh makan ikan tersebut kalau kita yang terjun ke laut .

Bukan kita yang akan makan ikan tu , tapi dia yang akan makan kita . “ Sekali dia ngap kau , baru kau tau “ ( bak kata Tuan Director Ahmad Nisfu kepada Aziz Satar dalam Seniman Bujang Lapuk )

Tapi setelah ikan Yu , Jerung dan Jaws itu naik ke darat , dan setelah dia mati , maka sudah tentu dia tidak dapat makan kita , sebaliknya kita yang akan makan dia .

Pada waktu itu sudah tentu tidak dapat kita mengatakan HARAM kita memakan ikan itu .

Oleh itu , ikan Yu , Jerung dan Jaws tetaplah HALAL dimakan .


RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 – FIQHUS SUNNAH
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh as-Saiyid Sabiq rh
Jilid II , Halaman : 7 , 13 & 14.
Terbitan : al-Fath Lil I’elam al-‘Arabi , Kaherah ( 1994m )

2 – Tarjamah BULUGHUL MARAM
Penulis Asal : Syeikhul Islam al-Imam al-‘Allamah Ibnu Hajar al-‘Asqolani rh
Diterjemahkan Oleh : Almarhum al-‘Allamah Ustaz A. Hassan Bandung rh .
Jilid Pertama , Halaman : 39 ( Hadist 1 )
Terbitan : C.V Diponegoro , Bandung , Indonesia .
Harga : RM 24. 50 /=

3 – TAFSIR al-MUNTAKHAB
Tafsir al-Quranul Karim ( B. Arab & 6 Bahasa termasuk B. Indonesia )
Terbitan : Al-Majlis al-A’ala Lisy Syu’un al-Islamiyah ( Majlis Tertinggi Hal-Ehwal Islam )
Kementerian Waqaf Mesir


Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

3 comments:

Unknown said...

Tetap juga Yu, Jerung dan Jaws makan daging meskipun bukan daging manusia. Sekiranya itik hanya dalam beberapa keadaan makan katak pisang, itu masih boleh dihalalkan. Akan tetapi Yu, Jerung dan Jaws adalah makanan utamanya daging setidaknya daging ikan lain bahkan anjing laut. Masihkah Yu, Jerung dan Jaws halal dimakan?

Unknown said...

salamullah..sye ingin btye utk ikan jerung@yu,wlaupun tidak menjadikn manusia sbgai mknan rutin,tetapi ikan jerung@yu juga d kenali sbgai haiwan pembangkai,ia memakan bangkai dan kesemua yg d makan akn mnjdi darah dagingnya,setahu saya,kita sbgai umat islam tidak boleh memakan haiwan yg d ketogorikn sbgai pembangkai.

nizam said...

Assalammualaikum. Saya mahu bertanya. Dari kecil lgi saya diajar haiwan yg bergigi taring hukumnya HARAM dimakan. Jdi, saya berasa bingung apabila dikatakan bahawa Ikan Jerung ini HALAL utk dimakan. Minta tuan/puan tlg jelaskan tentang perkara ini. Saya hanyalah insan yang tidak sempurna ilmu pengetahuannya. Sama2lah kita berkongsi ilmu utk kebaikan kita sesama Islam. Wallahualam. Wassalam.

Post a Comment